Bernama
9/5/2011
KOTA BAHARU, 8 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tetap akur jika masalah kewangan dijadikan faktor kerajaan tidak dapat melaksanakan pelarasan gaji kepada lebih sejuta penjawat awam.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata pada masa yang sama kerajaan perlu melihat keperluan untuk berbuat demikian kerana kepentingan kakitangan berjawatan rendah yang terpaksa membuat kerja sampingan.
"Apa pun kita (Cuepacs) akur dengan kekangan kewangan kerajaan tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat dan membantu kakitangan yang berjawatan rendah ini untuk mereka meneruskan kehidupan.
"Kira-kira 20 peratus daripada lebih 700,000 yang berjawatan rendah dilaporkan mula membuat kerja sampingan kerana masalah kewangan yang mereka hadapi," katanya selepas Majlis Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di sini, Ahad.
Perasmian seminar itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Omar berkata, Cuepacs sememangnya tidak bersetuju dengan langkah penjawat awam yang mahu membuat kerja sampingan kerana khuatir mereka hilang tumpuan ketika melakukan pekerjaan hakiki itu.
"Cuepacs memang tidak bersetuju mereka mahu membuat kerja luar ini kerana bimbang kerja hakiki mereka akan diabaikan tetapi pada masa yang sama juga kita simpati mereka terpaksa membuat kerja luar ini," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam perlu membuktikan komitmen mereka dalam membantu transformasi kerajaan sebelum memikirkan soal pelarasan dan kenaikan gaji itu.
Sementara itu, beliau berkata pertemuan ketiga antara kongres itu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak lama lagi akan memuktamadkan sistem kompetensi baru bagi menggantikan PTK yang dijadual dilaksana pada Julai ini.
"Sekarang sudah 90 peratus selesai dan Cuepacs berpuas hati dengan kerjasama JPA ini dan yakin sistem baru itu nanti benar-benar dapat melahirkan pekerja yang dapat membangunkan negara menjadi sebuah negara maju.
"Selama lapan tahun kita tidak berpuas hati dengan PTK itu tetapi kini kita yakin semua penjawat awam yang ada akan berpuas hati dengan pelaksanaan sistem baru itu nanti," katanya.
Omar berkata antara kaedah sistem itu nanti, semua penjawat awam perlu menghadiri kursus dan mereka kemudiannya akan dinilai untuk proses kenaikan pangkat dan sebagainya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan