KIRA-KIRA 3,000 PENJAWAT AWAM DIISYHTIHAR BANKRAP TAHUN LEPAS

Bernama
5/5/2011






KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama) -- Kira-kira 3,000 penjawat awam diisytiharkan bankrap pada tahun lalu, meningkat dari 2009 yang mencatat jumlah 1,086 orang, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman.

Beliau berkata paling ramai dari kumpulan ini datang dari kategori Gred 1 hingga Gred 40, dimana hampir 80 peratus terlibat adalah lelaki.

"Kebanyakannya sebab mereka buat pinjaman kenderaan...Mungkin gaji dah kecil dan sudahpun buat banyak pinjaman, tetapi pinjam lagi untuk beli kenderaan lepas tu tak boleh bayar, timbul masalah dan berhutang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Hari Pekerja anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Terdahulu Omar dalam ucapannya berkata, walaupun pihaknya terus berusaha membuat tuntutan baru untuk memastikan kebajikan dan keselesaan penjawat awam terjaga, tabiat sesetengah warga penjawat awam yang berbelanja melebihi kemampuan juga perlu ditegur.

Jelasnya, jika keadaan sebegini berlarutan, penjawat awam tersebut tidak akan berpuas hati dengan apa-apa pun penambahan atau kenaikan kerana ini sentiasa tidak akan cukup bagi mereka.

Namun beliau turut menegaskan bahawa kenaikan harga barangan pada masa ini semakin membebankan penjawat awam, sebab itu Cuepacs memohon kerajaan untuk melakukan pelarasan gaji pada tahun ini, termasuk penambahbaikan faedah-faedah lain.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak juga mengalami perkara yang sama, dimana harga barang dan kos hidup di sini turut meningkat seperti di Semenanjung.

Sehubungan dengan itu, kata Omar, Cuepacs ingin melihat kadar elaun wilayah bagi penjawat awam yang bertugas di Sabah dan Sarawak dinaikkan antara lima sehingga 10 peratus dari kadar sekarang.

Beliau berkata, selari dengan permohonan Cuepacs sebelum ini supaya bantuan sara hidup (Cola) di Semenanjung diselaraskan kepada RM300 sebulan tanpa mengira tempat, maka elaun wilayah juga perlu dinaikkan.

Omar juga mencadangkan supaya insentif pemberian tiket penerbangan percuma untuk penjawat awam dan keluarga ke Semenanjung, diadakan semula sebagai satu bentuk motivasi kepada mereka.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan