Eksklusif: 360 darjah ganti PTK

Oleh Syuhada Choo Abdullah
bhnews@bharian.com.my
2011/05/09
Prestasi kakitangan awam turut dinilai rakan sejawat

PUTRAJAYA: Mulai 1 Julai depan prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru. Konsep baru yang nama khususnya sedang dikenal pasti, akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada 1 Januari lalu, selepas digunakan selama lapan tahun sejak 1 November 2002.

PELARASAN GAJI: CUEPACS AKUR KEWANGAN KERAJAAN

Bernama
9/5/2011






KOTA BAHARU, 8 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tetap akur jika masalah kewangan dijadikan faktor kerajaan tidak dapat melaksanakan pelarasan gaji kepada lebih sejuta penjawat awam.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pada masa yang sama kerajaan perlu melihat keperluan untuk berbuat demikian kerana kepentingan kakitangan berjawatan rendah yang terpaksa membuat kerja sampingan.

"Apa pun kita (Cuepacs) akur dengan kekangan kewangan kerajaan tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat dan membantu kakitangan yang berjawatan rendah ini untuk mereka meneruskan kehidupan.

"Kira-kira 20 peratus daripada lebih 700,000 yang berjawatan rendah dilaporkan mula membuat kerja sampingan kerana masalah kewangan yang mereka hadapi," katanya selepas Majlis Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di sini, Ahad.

Perasmian seminar itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Omar berkata, Cuepacs sememangnya tidak bersetuju dengan langkah penjawat awam yang mahu membuat kerja sampingan kerana khuatir mereka hilang tumpuan ketika melakukan pekerjaan hakiki itu.

"Cuepacs memang tidak bersetuju mereka mahu membuat kerja luar ini kerana bimbang kerja hakiki mereka akan diabaikan tetapi pada masa yang sama juga kita simpati mereka terpaksa membuat kerja luar ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam perlu membuktikan komitmen mereka dalam membantu transformasi kerajaan sebelum memikirkan soal pelarasan dan kenaikan gaji itu.

Sementara itu, beliau berkata pertemuan ketiga antara kongres itu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak lama lagi akan memuktamadkan sistem kompetensi baru bagi menggantikan PTK yang dijadual dilaksana pada Julai ini.

"Sekarang sudah 90 peratus selesai dan Cuepacs berpuas hati dengan kerjasama JPA ini dan yakin sistem baru itu nanti benar-benar dapat melahirkan pekerja yang dapat membangunkan negara menjadi sebuah negara maju.

"Selama lapan tahun kita tidak berpuas hati dengan PTK itu tetapi kini kita yakin semua penjawat awam yang ada akan berpuas hati dengan pelaksanaan sistem baru itu nanti," katanya.

Omar berkata antara kaedah sistem itu nanti, semua penjawat awam perlu menghadiri kursus dan mereka kemudiannya akan dinilai untuk proses kenaikan pangkat dan sebagainya.

-- BERNAMA

KIRA-KIRA 3,000 PENJAWAT AWAM DIISYHTIHAR BANKRAP TAHUN LEPAS

Bernama
5/5/2011






KOTA KINABALU, 4 Mei (Bernama) -- Kira-kira 3,000 penjawat awam diisytiharkan bankrap pada tahun lalu, meningkat dari 2009 yang mencatat jumlah 1,086 orang, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman.

Beliau berkata paling ramai dari kumpulan ini datang dari kategori Gred 1 hingga Gred 40, dimana hampir 80 peratus terlibat adalah lelaki.

"Kebanyakannya sebab mereka buat pinjaman kenderaan...Mungkin gaji dah kecil dan sudahpun buat banyak pinjaman, tetapi pinjam lagi untuk beli kenderaan lepas tu tak boleh bayar, timbul masalah dan berhutang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Hari Pekerja anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Terdahulu Omar dalam ucapannya berkata, walaupun pihaknya terus berusaha membuat tuntutan baru untuk memastikan kebajikan dan keselesaan penjawat awam terjaga, tabiat sesetengah warga penjawat awam yang berbelanja melebihi kemampuan juga perlu ditegur.

Jelasnya, jika keadaan sebegini berlarutan, penjawat awam tersebut tidak akan berpuas hati dengan apa-apa pun penambahan atau kenaikan kerana ini sentiasa tidak akan cukup bagi mereka.

Namun beliau turut menegaskan bahawa kenaikan harga barangan pada masa ini semakin membebankan penjawat awam, sebab itu Cuepacs memohon kerajaan untuk melakukan pelarasan gaji pada tahun ini, termasuk penambahbaikan faedah-faedah lain.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak juga mengalami perkara yang sama, dimana harga barang dan kos hidup di sini turut meningkat seperti di Semenanjung.

Sehubungan dengan itu, kata Omar, Cuepacs ingin melihat kadar elaun wilayah bagi penjawat awam yang bertugas di Sabah dan Sarawak dinaikkan antara lima sehingga 10 peratus dari kadar sekarang.

Beliau berkata, selari dengan permohonan Cuepacs sebelum ini supaya bantuan sara hidup (Cola) di Semenanjung diselaraskan kepada RM300 sebulan tanpa mengira tempat, maka elaun wilayah juga perlu dinaikkan.

Omar juga mencadangkan supaya insentif pemberian tiket penerbangan percuma untuk penjawat awam dan keluarga ke Semenanjung, diadakan semula sebagai satu bentuk motivasi kepada mereka.

-- BERNAMA

SISTEM GANTI PTK BERMULA 1 JULAI

Utusan Malaysia
1/5/2011




KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan dijangka melaksanakan sistem penilaian baru terhadap penjawat awam menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa Julai ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, sistem itu akan menilai tahap kompetensi golongan itu berdasarkan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku mereka dalam pekerjaan.

“Pada 2 Mei ini, Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) dan CUEPACS akan membuat persidangan bagi membentangkan beberapa cadangan terhadap penambahbaikan sistem penilaian baru itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Kesatuan Inspektor Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Pemansuhan PTK yang berkuatkuasa 1 Januari lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

Menurut Omar, sistem penilaian baru itu akan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini.